KEAJAIBAN AL-QURAN


Bismillahirrahmanirrahim.

Mata ni mengantuk, kerja pun banyak tak siap lagi, tapi tak tahulah kenapa macam membuak-buak rasa nak tulis kisah aku dan al-quran ni. Bukan kisah apa pun sangat, just nak bagi semangat pada yang jarang-jarang khatam al-quran ni. Semoga kisah aku ini dapat menajdi inspirasi dan memotivasikan sesiapa yang baru dalam fasa mencari redha Illahi dengan berjinak-jinak dengan al-quran. Kita semua pendosa jadi tak perlu rasa malu.. tengok aku, denfan tak malu mengaku kejahilan diri. Bukan untuk berbangga dgn kejahilan, tapi berkongsi untuk jadi lebih baik. Menyampaikan ilmu yang bermanfaat kan dapat pahala 😉

Aku ni Alhamdulillah dibesarkan dalam keluarga yang boleh dikatakan agak menitik beratkan hokum agama dan al-quran la jugak. Dari kecik, kalau balik kampong, nenek aku (Tok) memang lah akan mengambil satu slot untuk kami cucu-cucunya mengaji al-quran. Memang terasa spoiled mood cuti-cuti sekolah, orang nak mandi-manda di sungai, tengok kartun alh-alih ada sesi mengaji, setiap pagi pagi pulak tu, memang drama air mata la jugak kan sebab protes. Protes tak protes mengaji tetap mengaji. Tapi sebab usaha Tok ajar dulu tu la aku ni celik la jugak tajwid. Semoga ilmu yang arwah Tok ajar anak-anak cucu ni menjadi saham untuknya di sana. Amin.

Kalau bukan cuti sekolah pun, tiap-tiap hari akan pergi mengaji kat madrasah (kelantanese panggil balasoh...haa..unik kan? ) dekat rumah aku, yang ni seronok sebab dengan kawan-kawan sekampung. Alhamdulillah la aku ni jenis yang celik baca al-quran juga, belum darjah 2 dah khatam kali pertama.

Kenangan pergi mengaji ni macam-macam. Aku ingat lagi belajar dengan Mok Ja, cikgu mengaji perempuan, aku selalu dapat privillage, sebab anak murid kesayangan kot mbahahaha. Kalau aku sampai lambat, budak-budak lain dah ramai, dia akan panggil aku dulu untuk baca hahaha. Tapi aku rasa orang lain tak jeles pun kalau aku potong que depa, lagi banyak masa depa boleh sembang and bermain dengan kawan, tambah-tambah konsep dia lagi lambat turn, lagi pendek tempoh mengaji biasanya hahaha. Biasanya lepas aku dah habis mengaji, aku pun tak nak balik lagi sebab seronok jumpa kawan-kawan setiap hari.. Mok Ja akan suruh aku ajar la kawan-kawan lain yang simple-simple tu. Masa tu takde iqra’, guna muqaddam tu ja. Kawan lago seronok naca dengan aku, salah pun tak kena rotan 🤭

Ada sorang lagi tok guru mengaji kat madrasah tu iaitu Pok Cik Yeh, atok BFF aku ni Cik Siti. Pok Cik Yeh ni memang glemer di kalangan kami sebab masa kami baca dia tersengguk-sengguk macam terlena, tapi bila ada baca salah, dia terus je tegur walau mata pejam. Kami kaguuuuuummmmmmmmmmmmmmmm. Hahahahaha..

(Kedua-dua tok guru mengaji aku sudah dijemput Illahi. Semoga ilmu bermanfaat ajar anak-anak orang kampong mengaji diganjarkan dengan sebaik-baik ganjaran. Amin. Bukan ada upah bayaran bulanan pun dulu, semuanya jariah.

Lepas dah khatam yang kali pertama tu, aku dah tak ingat berapa kali pulak khatam kemudiannya. Tapi al-quran tu tak ditinggalkan. Mak ayah aku sentiasa pantau. Selepas maghrib mesti aku kena mengaji dengan Ma aku. Setiap Khamis malam jumaat memang kami satu family akan baca yaasin ramai-ramai untuk disedekahkan kepada mereka yang telah pergi, biasanya kami baca sambil tunggu isya’. Jadi aku dah macam terbiasa dengan rutin baca yaasin malam Jumaat sampailah sekarang. 
(Lately je kan baru tau, yang disunatkan baca adalah surah Al-Kahfi, tapi takpelah, jahil kan, baca Yaasin pun dapat pahala jugak, insyaallah.)

Makin bertambah umur, makin berfokus kepada nak cemerlang akademik, jadi yang paling kerap aku baca ialah surah Yaasin. Hahahaha.. reality life aku. Masa ni aku masih tak faham konsep-konsep surah ni, yang aku tau asal baca al-quran, baca Yaasin je lah, sebab nak doa biar dapat straight A UPSR nak masuk sekolah asrama penuh. Sangat pressure weih kakak dan abang aku ni jenis cerdik-cerdik, kakak aku MRSM Taiping, abang aku SEMSAS. Zaman tu masuk boarding school ni memang selected & quality one. Bukan nak kata sekarang tak selected, tapi dulu memang macam tu sebab placing adalah limited. Maka bench mark aku terpaksa tinggi tu yang pulun baca Yaasin je kalau time baca al-quran ahaha.

Alhamdulillah, rezeki aku impian aku pun dimakbulkan. Maka bermulalah hidup aku di sekolah sains agama haaaaa gittuuu… (kalau korang pernah baca cerita aku sebelum-sebelum ni mesti faham sgt kan kenapa aku panggil sekolah sains agama ahakz.). Tiap-tiap hari lepas solat maghrib menanti Isya’ memang pengisian kalau bukan tazkirah baca al-quran sama-sama. Tapi masa ni aku macam tak tau kenapa, aku baca al-quran, tapi tak khatam. Sebab baca tak ikut pages aku. Tapi selalu mengaji, Cuma surah terlompat-lompat. Tapi aku masih lagi tak tinggal baca Yaasin ahakz. Cuma ada improvement sikit, masuk sekolah sini, aku berkenalan dengan surah Al-Mulk. 

Setiap malam sebelum tidur, kami diwajibkan untuk baca Al-Mulk berjemaah. Period ke tak period ke, masa bacaan Al-Mulk, kena duduk buat bulatan juga. Tinggal yang non muslim je tak payah baca boleh duk kat atas katil diorang, tapi lima tahun rutin baca Al-Mulk weih, sampai yang non-muslim pun dah siap
Jadi begitulah rutin selama 5 tahun, masih bersahabat dengan al-quran tapi tak berfokus. Yang lekat di mulut hanyalah Yaasin sebab nak dapat result yang cemerlang dan Al-Mulk sebab rutin setiap malam.

Bila masuk zaman matrik, umur makin meningkat, yezzaaa…. Masa ni makin jauh dengan al-quran, sebab takde dah rutin wajib. Hidup dah start bebas bukan macam zaman sekolah yang berjadual dan berperaturan. Malam kalau berjaya lawan hasutan syaitan baru lah baca Al-Mulk, tapi kebanyakan malam adalah malam-malam kekalahan. Yaasin pun masuk study week baru la teringat nak baca, kalau tak nan hadooo. Masa lebih banyak diliang untuk perkara laghaaa...

Masuk zaman U pun lebih kurang sebegitulah. Jarang sangatlah aku belek-belek al-quran ni. Tak bersentuh aku rasa. Penghayatan Ramadhan memang takdelah, yang tau bulan Ramadhan, letih dan tak sabar nak bukak posa. Malam kita bantai sembang bergelak ketawa dan layan movies/drama.

Masuk alam kerja pun lebih kurang pembawakan perangai zaman U lah. Tak belek al-quran. Sehinggalah sekolah tu dilanda hysteria yang teruk, maka bermulalah setiap pagi wajib semua cikgu & murid baca ayat manzil dan masa ni lah baru aku berkenalan dengan surah Ar-Rahman. Student yang ketuai bacaan tu baca punyalah sedap, syahdu lenggok mendayu-dayu, dan masa tu dalam edaran Manzil tu ada tafsir. Jadi sampai meleleh-leleh air mata bila baca maksud surah Ar-Rahman dengan diiringi alunan bacaan yang merdu dan mendayu. Insaf tak terungkap. 

Masa ni juga tengok life kawan-kawan yang lain, yang jauh lagi hebat dan berjaya, duk study oversea, sambung master bagai, siap dah kahwin ada anak, maka mula lah rasa bertuahnya dia murah rezeki. Dan suatu hari dia share di Fb, amalan yang dia tak pernah tinggal setiap malam, membaca surah Al-Waqiah. 

Masa tu lah baru aku belek-belek alquran nak cari Al-Waqiah selepas surah Ar-Rahman. Masa tu fasa duit gaji semput duk joli apa benda pun tak tahulah, MrAF terkontang kanting baru habis belajar nak apply kerja, maka bermulalah dari situ kalau ada kerajianan lebih, aku bacalah Al-Waqiah selepas Maghrib. Tapi rajin la baca, desperate sangat ni nak murah rezeki nak biar cukup duit nak kahwin ni. Time ni pun aku dah mula semula baca Al-Quran selepas

Begitulah kitarannya sehingga dah kahwin dapat anak. Masa awal-awal kahwin kembali culas al-quran sebab masa banyak dihabisoan untuk aktiviti berhibur, baca juga Al- waqiah & yaasin tapi dengan kekerapan yang sangat rendah sebab macam impian dah dikabulkan dah kan.😪😪 Tetapi bila mengandung, kembali mengaji semula tapi berfokus kepada surah-surah tertentu. Maryam, Luqman, Yusuf, Yaasin. Haaaa.. main pilih-pilih macam dulu kala tu cuma tambah beberapa surah baru. Yang selalu tak tinggal tiap-tiap hari surah Yusuf lah sebab nak anak cantik dan hansem konsepnya ahakz. Konsep yang aku guna pakai, asal mengaji, tiap-tiap hari aku mengaji, mengaji sebab nak hasrat tertentu, baby dalam perut dengar alunan bacaan suci al-quran maka jadilah anak solehah , baik paras dan pekerti dan mudah bersalin. Penilaian aku masa jahil tu macamkan aku Tuhan kan huhuhu... Jadi begitulah, baca surah-surah yang sama, memang tak khatam sampai sudah la. Berapa tahun dah aku tak khatam ni?? Begitulah kehidupan, dari anak 1 hingga dah dua.

Sejak jadi ibu, tiba-tiba macam baru kembali terfikir, teringat yang bahawasanya lamanya aku tak khatam, tak baca al-quran dari page satu sampai yang terakhir. Kalau ikit aku, kiranya aku dah selalu la kan baca ayat al-quran tapi melompat-lompat

Jadi dari situ, aku pun mula kembali membaca al-quran dari page 1st dengan niat nak khatam.
Ini yang aku nak cakap yang Al-Quran ni ada magiknya yang tersendiri.

Bila lama dah tak baca al-quran, tak baca Surah Al-Baqarah, lidah mula rasa terbelit-belit, tajwid jadi ingat-ingat lupa. Bila baca gagap-gagap ni, tersangut-sangkut dan lambat. Baca tiga muka surat tu pun rasa macam lama sangat & struggle sangat dah. Tambah-tambah bila mula dengan surah Al-Baqarah, ya Allah, panjang sungguhlaa… 1 juzuk lebih baru habis surah dia. Lepas tu jumpa pula An-Nisaaa, panjang juga. Kadang-kadang rasa demotivated sebab macam lambatnya nak habis satu surah, lambatnya nak bergerak dari juzuk ke juzuk, dahlah baca sangkut-sangkut pulak kan. 

Maka masih gagal lagi nak khatam.

Faktor bagi aku yg jadi lambat tu sebab kurang keazaman dan tekad. Aku memang mengaji setiap hari, tapi konsep dia setiap malam Al-Waqiah, dah habis Al-Waqiah barulah selit yang mengaji untuk khatam, biasanya dapat 1 or dua muka je lah, lepas tu dah Isyak. Dan begitulah seterusnya.

Sehinggalah bila aku memang nekad, pasang azam nak khatam dalam setahun, Alhamdulillah berjaya!! Tapi yang ni memang campur sekali dengan bacaan bulan Ramadhan. Bila berjaya buat kali pertama seteah sekian lama, rasa best tu tak terurngkap, maka hati jadi makin berkobar. Dan dari sinilah aku dapat rasakan keajaiban al-quran. Walau gembira akhirnya boleh khatam setelah sekian lama, tapi terselit kurang rasa kepuasan sebab campur dengan Ramadhan tanpa reset. Jadi aku tanam azam.. next khatam, mesti sebelum Ramadhan sebab Ramadhan aku nak start dari page 1 sampai khatam.. dan Alahmdulillah, Allah izinkan!! Gembira tak terperi... kedua-dua matlamat aku akhirnya berjaya setelah sekian lama🥰🥰🥰

Jadi di sinilah aku nak kongsi tips kepada sesiapa yang fasanya macam aku sebelum ni dan rasa putus asa tak khatam-khatam lagi..
Ini bagi yang tergagap-gagap susah nak konsisten macam aku. Aku yakin ramai je yang dah mampu khatam setahun sekali atau berkali-kali. Kalau macam tu, tolong doakan aku mampu jadi sehebat korang jugak. Aminn.

1.       Benarlah, al-quran ni, dia akan mesra dengan orang yang selalu ingat dia. Kalau kita jarang-jarang baca, kita dapati ayat dia macam susah dan berbelit-belit sebab kita tak biasa. Bila kita dah selalu baca, insyallah lancar je bacaan kita. Kalau kita dah lama tak baca al-quran, bila baru nak start, jangan cepat putus asa macam aku dulu, rasa bosan sebab baca asyik tergagap-gagap… keep on reading, nanti lidah kita akan terbiasa. (Lidah tu literally la, jangan la pi jilat pulak… hehehe..cubaan untuk berjenaka 🤪🤪)

 Contohnya macam aku, baca surah-surah yang selalu baca tiada masalah, macam Al-Waqiah, Yaasin, Ar-Rahman, and a few yang aku duk baca tu kan, takde masalah, smooth je sebab dah biasa duk ulang-ulang. Bila lama dah tak mengadap Al-Baqarah, An-nisa, Al-fusilat and macam-macam surah lagi yang lama dah tak baca tu, tu yang tergeliat lidah tu. Kata kunci dia, tetaplah baca walau tergagap-gagap atau tergugup-gugup, nanti dah 2,3 kali khatam, semua smooth je. Insyaallah.

2.       Nak khatam al-quran ni, dia ibarat nak baca Al-kahfi. Aku sebut Al-Kahfi la sebab aku baru setahun dua ni je baru mengamalkan baca hari Jumaat. Al-Kahfi dengan Yaasin, Al-kahfi lagi panjang. Masa mula-mula tu, jenuh, kira bersambung-sambung sehari jugakla nak habiskan satu surah sebab selit-selit baca masa kerja and lepas zohor & asar. Tapi selepas beberapa kali Jumaat, boleh dah habiskan bacaan dengan sekali baca, dalam 30-40 minit je.

   Apa kaitan Al-Kahfi ni? Ok, macam ni, Al-Kahfi ni bagi orang yang baru berjinak-jinak rasa susah dan lama sangat nak habiskan hingga ayat akhir. Rasanpanjang giler sakit tekak haus bagai la nak habiskan. Tapi bila kita dah kerap baca, eh..takdelah panjang sangat pun. 

   Sama macam aku rasa masa awal-awal start nak khatam semula. Rasa macam susahnya nak habiskan 30 juzuk.. tapi bila dah berjaya khatam 2,3 kali.. tak rasa dah panjang ke apa... rasa senang jeee.... 

3. Kenapa awal-awal bacal Al-Kahfi susah nak habiskan, tapi kalau dah biasa jadi cepat? Sebabnya kita dah dapat rentak. Dan surah Al-Kahfi , ayat depan-depan dia panjang-panjang dan berbelit-belit. Tapi bila kita dah masuk ayat yang ke-50, selepas tu ayat dia pendek-pendek dan lajuuuuuuuuuuuuuuu je kita baca sedar-sedar "eh!! Dah habis!!" 🤗🤗

    Sama macam Al-Quran, surah depan-depan ni biasanya panjang-panjang. Tapi lepas Juzuk 15 macam tu, surah dah pendek-pendek. Jadi biasanya bila lepas juzuk 15 kita akan rasa bersemangat je sebab kita boleh target nak habiskan satu surah compare dengan  surah-surah panjang yang depan-depan tu, kita biasa baca ikut helaian kan, rasa demotivated. 

    Tapi bila surah pendek-pendek,walau  dah lebih target helaian sehari pun kita akan macam “eh, nak habiskan je lah surah ni” dan seterusnya, seterusnya, seterusnyaaaa....sedar-sedar berjaya khatam!!! Alhamdulillah… 

   Atau macam sekarang dah ada jual al-quran yang jilid by juzuk. Aku beli untuk Sophea yang tu, nak motivasikan dia belek-belek berapa page lagi nak habis juzuk. Alhamdullillah, Sophea start naca al-quran awal tahun 2020 ni, sekarang dah juzuk 5🥰🥰 

   Mungkin korang pun boleh guna yang tu juga, lebih bersemangat dan bermotivasi.

4.       Orang yang selalu terbiasakan diri dia khatam ni, memang Allah mudahkan urusan dia untuk khatam untuk sekian kalinya. Sebab tu sekarang baru sampai logik kat aku macam mana ada orang boleh khatam setahun 3 kali, khatam masa sebulan Ramadhan, bukan sekali tapi 2,3 kali pun ada, macam mana Imam Shafiee khatam sekali sehari dan bulan Ramadhan khatam dua kali (termasuk bacaan dalam solat) !! Macam tak terjangkau dek akal bagi aku dulu tapi sekarang it makes sense, lidah dia dah lancar dan sebati dengan ayat al-quran, memang takde masalah untuk dia khatam. Allhaukbar. 

    Dan aku teringat Ustaz mengaji aku yang selalu terlena tu (pejam mata), Arwah Pok Cik Yeh, it makes sense now. Ayat al-quran dah sebati dalam otak dan hati dia, sebab tu kita baca tersilap baris sikit je pun dia boleh triggered walau dia hanya dengar, tak tengok pun untuk double check. Hebatkan kalau kita pun boleh masuk level macam ni… insyallah. 

    Dan sebenarnya, bila kita dah terbiasa duk ulang-ulang baca, kadang-kadang kalau kita tersilap baris sikit, automatic kita macam boleh rasa kejanggalan dalam bacaan ayat tu, fan automatik boleh tersedar kita ada silap baca sikit dan jumpa pun kesalahan tu...ini kalau dari pengalaman aku lah. Tapi aku rasa memang semua orang pun macam ni. 

5.  Bila dah berjaya khatam, 2,3 kali, bolehla pula cuba baca al-quran dan terjemahannya. Insyaallah membaca al-quran akan menjadi lebih menyeronokkan. Boleh dikatakan apa yang disebut di dalam al-quran itu, akan ada terkena untuk kita dan seterusnya untuk kita berasa insaf dan kerdil dan seterusnya berusaha menjadi baik. Bagaimana aku jatuh cinta dengan surah Ar-Rahman, kerana setiap ayatnya menyentap jiwa. Maka nikmat Allah yang manakah kamu dustakan? Dushhhh… senak hati weih baca tu. 

   Tu tak baca Al-Fusilat lagi.. Takpun surah Semut dan Labah-Labah. Memang nak habiskan 30 juzuk tu, teesentap-sentap jiwa kadang-kadang sampai boleh menangis sebab takut, insaf, gerun dan sayang pada Allah. 

    Kalau belum berjinak-jinak dengan tafsir, boleh la mulakan dengan Ar-Rahman dulu, kemudia Al-Kahfi. Once kita dah hayati surah Al-Kahfi, kita akan faham kena disunatkan baca setiap minggu dan kenapa surah ini dapat hindarkan kita dari fitnah Dajjal, semua tentang tujuan kehidupan di muka bumi ini complete dalam surah Al-Kahfi.

  Tapi kalau korang tak berjaya khatam lagi, aku personally rasa, jangan baca dengan tafsir lagi.. ia akan jadi dua kali ganda lebih lambat jadi kalau korang tak cukup motivasi.. memang terbegkalai lah projek khatam tu. Apapun bergantung kepada individu... 

6.Dari suatu sudut, bagus juga dulu aku duk ulang-ulang baca surah-surah favourite aku tu kan, jadi walaupun aku tak hafal, tapi aku boleh follow kalau dengar. Kelebihannya bila? Sekarang…. Malam-malam masa nak tidurkan anak-anak, lepas story telling, aku play je 4 surah, Al-Mulk, Yaasin, Ar-Rahman dan Al-Waqiah. Total dalam 30 minit dan biasanya nak habis 4 surah tu memang lena dah la dua-dua. So 3 in 1, anak-anak lena, aku dapat baca surah-surah ni setiap malam tanpa gagal (jadi lepas maghrib tu aku tak baca al-waqiah dah, terus tadarus), dan harapannya anak-anak aku duk selalu dengar, mudahlah lekat di hati untuk hafal nanti. Malam Khamis memang wajib baca Yaasin satu family dan pagi-pagi selepas Subuh, memang aku amal baca Yaasin sebagai pemula hari. 

Bila kita dah biasa dengan rutin baca al-quran, kita boleh je adakan masa untuk baca al-quran setiap kali selepas solat. Slow & steady.. mula la dengan 1 page setiap kali lepas solat.. lepas tu up lagi... up lagi..up lagi.. i'allah hati akan lebih tenang. 

Selepas subuh - surah Yaasin (lancarkan urusan)
Selepas zohor -  surah Ar-rahman (supaya tak kufur nikmat)
Selepas asar - surah An - Naba (diamounkan dosa)
Selepas Maghrib - Surah Al- Waqiah(murah rezeki)
Selepas Isyak- Surah Al-Mulk & As-sajadah. (Jauh dari seksa kubur)
Selepas Dhuha- Ar -Rahman & Al- waqiah

Hari Jumaat - Al-Kahfi (terhindar dari fitnah dajjal)

Pendek kata banyak lah amalan surah-surah ni.. semput kadang-kadang nak follow..terus rasa teruknya diri ni huhuhu..

Ada hari aku mampu..ada hari tak mampu..tapi kalau tak mampu..jangan tinggal semua. Allah itu Maha Tahu dan Maha Baik 😊😊


Jadi aku rasa setakat ini dulu lah yang aku coretkan untuk perkongsian bersama. Yang mana baik dan berguna untuk dicontohi, amalkanlah. Semoga kita semua dapat melangkah sederap kearah syurga yang sudah pasti banyak cabaran dan ujiannya. Sekurang-kurangnya, kita mencuba, untuk menjadi lebih baik.

Hidupkan al-quran sentiasa, bukan hanya di bulan Ramadhan.

Kuncinya ISTIQOMAH..

Ni ada orang share di wassap.. 


Sekian, wassalam.

Ulasan